• Merejam Lembing

    Sejarah
    Rejam lembing (javelin) adalah acara olahraga yang tertua dan dipercayai dimainkan sejak zaman purba lagi. Ketika itu lembing digunakan untuk memburu dan sebagai senjata dalam peperangan. Acara merejam lembing mula di pertandingkan dalam Sukan Olimpik Moden pada tahun 1912. Sejak itu, acara merejam lembing merupakan satu acara balingan dalam semua acara sukan dunia. Acara ini juga dipertandingkan di peringkat negeri, daerah atau sekolah.
    Prinsip asas merejam lembing
    Merejam lembing berbeza daripada aktiviti membaling yang lain seperti melontar peluru dan melempar cakera. Ini kerana terdapat perbezaan di antara bentuk alatan yang digunakan dan juga kawasan untuk bergerak bagi ketiga-tiga acara sukan itu. Dalam acara merejam lembing, pelatih menggunakan aksi membaling yang lebih kurang sama dengan tindakan membaling sebiji batu atau bola tenis.
    Selain itu, pelatih hendaklah mempelajari teknik menggunakan keseluruhan badan mereka untuk menghasilkan tindakan yang berkesan semasa merejam lembing. Latihan ansur maju hendaklah dimulakan dengan mengajar para pelatih tentang cara memegang lembing, berlari dengan lembing, merejam dengan cara berdiri dan seterusnya sehingga mereka dapat berlari sambil merejam lembing. Butiran seperti pentingnya meleding badan sebelum merejam, langkah larian yang licin, keadaan tangan yang lurus semasa membawa lembing dan tindakan tumit untuk membantu pergerakan badan adalah perlu kepada para pelatih.

    Keselamatan para pelatih
    - Semasa membawa lembing
    - Mata lembing biarlah menghadap ke bawah
    - Jangan berlari
    - Semasa latihan
    - Pastikan tidak ada orang di kawasan merejam
    - Perhatikan pergerakan orang lain di sekitar kawasan
    - Para pelatih lain yang masih menunggu giliran mereka mestilah berada di kawasan yang telah ditetapkan oleh jurulatih
    - Amalkan dasar semua memungut lembing setelah semua merejam
    BAHAGIAN – BAHAGIAN LEMBING
    Lembing biasanya diperbuat daripada besi atau logam campuran. Bahagian-bahagian lembing terdiri daripada kepala, grip dan ekor. Terdapat dua jenis gaya rejaman yang boleh digunakan oleh perejam lembing. Kedua-dua gaya ini sering digunakan oleh perejam-perejam amatur mahupun professional. Gaya rejaman tersebut ialah Gaya Rejaman Dari Atas Bahu dan Gaya Rejaman Dari Bawah Bahu.

    Gaya memegang lembing
    1) Terdapat tiga teknik asas memegang lembing iaitu;
    - Gaya Amerika
    Lembing dipegang di antara ibu jari dan jari telunjuk serta disokong oleh tiga jari yang lain.
    - Gaya Finnish
    Lembing dipegang di antara ibu jari dan jari tengah.
    - Gaya Pegangan – U
    Lembing dipegang di antara jari telunjuk dan jari tengah.
    Kawasan rejaman lembing
    Kawasan rejaman hendaklah bebas daripada sebarang gangguan atau halangan serta tidak membahayakan keselamatan orang ramai. Panjang kawasan larian tidak melebihi 36.5 m dan lebar 4 m, manakala kawasan rejaman yang dilebarkan pada sudut 29 – 30 darjah mempunyai jarak 8 m dari pusat lengkungan ke titik sudut. Panjang kawasan ini tidak mempunyai had asalkan bersesuaian dengan taraf atau prestasi peserta.

    Teknik rejaman lembing
    Terdiri daripada empat fasa utama seperti berikut:
    - Fasa persediaan
    - Fasa lari landas
    - Fasa rejaman
    - Fasa ikut lajak
    1. Fasa persediaan
    Fasa ini memberi fokus kpada persediaan fizikal seperti teknik memegang dan menentukan kedudukan lembing serta persediaan mental. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
    - Berdiri dengan keadaan postur badan yang tegak dan selesa.
    - Pegang lembing mengikut gaya pegangan yang dipilih dengan kemas dan selesa.
    - Lembing berada pada aras kepala dalam keadaan bersudut 40 darjah.
    - Bahagian kepala lembing hendaklah menghala ke arah kawasan rejaman.
    - Pandang kearah kawasan rejaman.
    2. Fasa lari landas
    - Fasa ini bertujuan untuk mewujudkan kelajuan yang maksimum dan dalam keadaan terkawal. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
    - Mulakan larian sambil memegang lembing pada aras kepala.
    - Tingkatkan kelajuan mewujudkan daya pecut secara terkawal.
    - Langkah terakhir lebih besar daripada langkah – langkah sebelumnya.
    - Tumit kaki hadapan menekan kuat ke tanah semasa memberhentikan larian supaya kuasa larian dipindahkan ke lembing sebelum memasuki fasa rejaman.
    3. Fasa rejaman
    - Fasa rejaman memerlukan pemindahan kuasa kaki ke lembing untuk memberi kelajuan yang maksimum pada rejaman. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
    - Dalam keadaan tumit kaki hadapan menekan ke tanah, kilaskan badan ke sisi.
    - Kilaskan badan ke sisi dan belakang dengan menggunakan tangan bebas dan kuasa rotasi pinggang.
    - Tolak lembing ke belakang dan tarik ke atas dan ke hadapan untuk melancarkan lembing
    - Perlakuan ini memerlukan rotasi di pinggang dan lentikan di belakang untuk menambahkan kuasa rejaman.

    4. Fasa ikut lajak
    - Penyerapan daya dan stabilkan pergerakan selepas merejam adalah penting. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
    - Sebaik sahaja lembing dilepaskan, langkah setapak ke hadapan dan mendarat dengan sebelah kaki.
    - Imbangkan badan dengan kaki yang sebelah lagi.
    - Rendahkan badan bagi mengimbang dan menstabilkan kedudukan badan.
    - Kawal pergerakan supaya tidak melepasi garisan lengkungan bulatan.




    Koleksi Gambar Merejam Lembing 




1 comments:

  1. Rejam lembing ini memang satu aktiviti yang bagus. Tetapi sekolah-sekolah skm sukar sikit. Hal ini disebabkan kekurangan peralatan. Terima Kasih

Post a Comment

 
Cute Polka Dotted Pink Bow Tie Ribbon